RSS

cerita si anak singa

ir.luziaz Filed Under:


Arakian bermulanya ceritera akan seekor anak singa baru lahir ke dunia. Lahir pula dari keturunan sang singa perkasa, golongan bangsawan dari puak singa-singa. Kelahiran si anak singa cukup mengembirakan si singa perkasa, mahu saja dijunjung si anak singa ke mana-mana. Namun, si anak singa, kerana mentahnya usia tidak merasa beza dia berbanding binatang lain adanya.

Pagi hening itu merubah segala. Si anak singa bersama-sama sang singa perkasa dan puak singa-singa lainnya berjalan-jalan sekitar belantara. Sedang berjalan itu, si anak singa ternampak kelibat sang rama-rama. Terdorong rasa kagum akan keindahan warni-warna sang rama-rama, lantas diekor tanpa diketahui sang singa perkasa.

Kerana asyiknya akan keindahan sang rama-rama, si anak singa tersesat jauh dari puak singa-singa. Gundah gelisahlah hati si anak singa bersendirian di tengah belantara. Terus diikut kaki berjalan sehingga sampailah ia pada puak rusa-rusa. Kerana belum mengenal mangsa dan pemangsa, pergilah si anak singa mengadu nasib pada ketua puak rusa-rusa.

Melihat ia tiada bahaya, teringin pula mahu diperguna si anak singa, ketua puak rusa-rusa berkenan menumpangkan si anak singa bersama puaknya. Maka hiduplah si anak singa kehidupan sang rusa. Tidur ia seperti tidur si rusa, makan ia seperti makan si rusa bahkan mengaum pun sudah dilupa bagaimana.

Demikianlah adanya keadaan si anak singa bersama puak rusa-rusa. Dek kerana lainnya ia berbanding anak-anak sang rusa, maka selalulah ia diejek, bahkan sering juga tanduk2 sang rusa singgah di perutnya. Mau dilawan, tiadalah pula si anak singa tahu akan caranya. Maka, selalu jugalah si anak singa berangan punya tanduk seperti sang rusa. Nanti tidaklah ia terus diejek dan dihina. Dan tidaklah ia tahu, taring dan kukunya bisa menawan seluruh puak rusa, bahkan ngaumannya sahaja bisa mencemperakan mereka- dek terbiasa hidup di kalangan rusa-rusa.

Begitulahlah berlalunya hari-hari si anak singa, sehingga suatu petang, si anak singa merajuk membawa diri kerana tidak tahan dengan ejekan puak rusa-rusa. Dan sedang asyik mengenang nasib, terserempak ia dengan puak singa-singa – kaum kerabat yang ditinggal lama. Gembira dengan kepulangan si anak singa, sang singa perkasa mengaum kuat mengkhabarkan kepada alam dan seluruh isinya. Si anak singa yang terlalu lama bersama puak rusa-rusa, lemah lutut mendengar ngauman si bapa. Cuba lari, tidaklah ia mampu hatta berbicara. Maka, terjelepoklah si anak singa di tengah-tengah puak singa-singa.

Berhari-hari jugalah sang singa perkasa bermati akal cuba mengembalikan jiwa raja belantara di hati si anak singa. Berdikit-dikit, si anak singa mula mengenal taring dan kukunya, sehinggalah ia cuba meniru ngauman sang singa perkasa. Penutup alkisahnya, kembalilah si anak singa berjiwa raja di belantara, tiadalah ia masih berangan mahukan tanduk sang rusa, kerana apa yang ada padanya sudah cukup meninggikan izzah sang raja.

*** TAMAT ***

ULASAN CERITA:

Suatu cerpen menggambarkan masalah krisis identiti yang dihadapi sebahagian generasi baru Islam.

SI ANAK SINGA simbolik pada sebahagian pemuda-pemudi Islam sekarang. Secara halus, dikisahkan bagaimana generasi baru umat dihanyutkan dengan pelbagai budaya yang jelas bertentangan dengan Islam yang digambarkan dengan PUAK RUSA-RUSA yang lemah.

Bermula hanya kerana terlalu inginkan hiburan dan tertarik dengan nikmat dunia yang sementara yang dibayangkan pada watak SANG RAMA-RAMA, generasi baru umat terus terbuai dengan budaya bukan Islam, sehinggakan generasi ini tercari-cari kemuliaan selain kemuliaan Islam, ini jelas dilihat pada plot bagaimana SI ANAK SINGA mengimpikan tanduk sang rusa. Hakikatnya, kemuliaan dan kehebatan yang dicari itu ada pada Islam itu sendiri, namun kerana telah terlalu lama dalam suasana jahiliyah membutakan mata sebahagian generasi baru Islam untuk melihat kemuliaan yang sebenar. Firman Allah dalam surah aali-Imraan:

85. dan sesiapa Yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi.

Dan untuk kita kembali kepada Islam, perlunya kita pada sahabat-sahabat atau suatu komuniti yang Islamik membantu kita kembali memahami Islam dan meninggalkan maksiat seperti yang tergambar dalam plot sekembalinya SI ANAK SINGA pada kawanan singa. Dan SANG SINGA PERKASA gambaran si murabbi atau inidividu pendidik yang sebenar merupakan elemen yang amat penting dalam kita berusaha kembali kepada fitrah Islam yang suci.

SI ANAK SINGA yang pada awal kepulangannya kepada kawanan singa diceritakan sangat terkejut dan takut, menggambarkan individu yang ingin kembali pada Islam setelah sekian lama dalam suasana jahiliyah akan merasai suatu kejutan dan cukup susah pada awalnya untuk menerima fitrah agama yang suci kerana hatinya ditutup dengan titik-titik hitam lantaran maksiat yang dilakukan sebagaimana yang disabdakan Nabi SAW:

Daripada Abu Hurairah, daripada Nabi s.a.w, dia bersabda : "Sesungguhnya seseorang hamba itu bila melakukan satu dosa, dititik pada hatinya satu titik hitam. Jika dia bertaubat, berhenti dan meminta ampun, dihilangkan (titik hitam) dari hatinya. Dan jika dia kembali (melakukannya) bertambahlah (titik hitam) hingga mengalahkan hatinya. (Tuhfah al-Ahwazi jilid 1 m/s 32) .

Maka, istiqamahlah dalam setiap perubahan ke arah kebaikan walaupun pada awalnya kita merasakan cukup sukar untuk meninggalkan amalan maksiat yang sekian lama kita bergelumang di dalamnya. Dan yakinlah, kemuliaan sebenar itu adalah pada benarnya kamu pada iman & islam lewat firman Allah lagi dalam surah aali-Imraan:

139. dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman.

Semoga kita sama-sama diberi hidayah oleh Allah SWT untuk berubah kepada yang lebih baik.


edit post

3 Responses to "cerita si anak singa"

  1. Farid Nazmi Says:
  2. howh,rindu cerita ni..penuh pengajaran!
  3. munawwar Says:
  4. cerita ni ade dalam novel Ketika cinta bertasbih..tapi bukan rusa,kambing..
  5. hakim Says:
  6. salam. mantap us zaizul.. post la lagi. jangan buat kami tertunggu2. :]

Post a Comment

Sama Melangkah